Post Top Ad

Home Top Ad

Responsive Ads Here

Ayah Pesan Jangan Tinggal Solat

KUALA LUMPUR: "Jangan tinggal solat dan belajar bersungguh-sungguh untuk hadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)," demikian pesan terakhir penyanyi Mohd Shamrin Abd Samad, kepada anak sulungnya, Siti Najwa, 17.

Shamrin, 45, vokalis kumpulan Fotograf meninggal dunia di Hospital Pakar Al-Islam, Kampung Baru, pada 6 petang semalam akibat sakit jantung. Najwa berkata, walaupun dia dan ayahnya tinggal berasingan akibat perceraian dua orang tuanya itu, namun bapanya sering menghubunginya dan sentiasa memberi dorongan dan semangat untuk berjaya dalam pelajaran. Najwa yang tinggal bersama ibunya, Noreda Mohd Razali, 45, di Taman Melawati berkata kali terakhir beliau berjumpa dengan ayahnya kira-kira sebulan lalu dan ketika itu ayahnya tidak menunjukkan sebarang perubahan pada kesihatan dirinya. "Kira-kira tiga hari lalu saya ada menghantar SMS kepada ayah dan mengatakan yang saya merinduinya dan dia terus menghubungi saya.


"Dalam perbualan itu, ayah menasihatkan supaya saya fokus pada pelajaran dan SPM yang akan saya duduki tidak lama lagi dan berjanji akan membawa saya pergi bercuti selepas habis SPM," katanya ketika ditemui di tanah perkuburan Islam USJ 22 di Subang hari ini. Isteri Allahyarham, Jasrizatul Akhmar Abu Samah, 29, berkata pada mulanya beliau mendapat panggilan dari anak saudaranya memaklumkan tentang kematian suaminya tetapi dia tidak mempercayainya kerana anak saudaranya itu suka bergurau. "Bagaimanapun, saya terus menghubungi telefon bimbit suami tetapi rakannya menjawab dan menyuruh saya segera ke Hospital Pakar Islam Kampung Baru, namun tidak memberitahu mengenai kematian suami," katanya. Jasrizatul berkata, setiba di hospital itu, beliau sekali lagi diberitahu mengenai kematian suaminya. Beliau berkata, sebelum itu tiada sebarang perubahan atau petanda ditunjukkan Allahyarham mengenai kesihatan dirinya. "Apa yang saya tahu memang sejak kebelakangan ini suami saya tidak cukup rehat tetapi dia seorang yang sihat dan tiap-tiap petang beliau bersukan," katanya. Jenazah Allahyarham Shamrin selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 22, Subang, selepas solat Jumaat. Shamrin pernah popular dengan lagu 'Di Alam Fana Cinta' pada era 90-an dan pernah merakamkan lagu duet bersama biduanita Datuk Sharifah Aini yang bertajuk "Kamu Aku Satu". Shamrin membabitkan diri dalam lapangan muzik secara serius bersama kumpulan Fotograf yang menampilkan album pertama berjudul "Iramanya Bergetar" pada 1989 dan seterusnya melahirkan lima album, yang terakhir bertajuk "Juara Mimpi" pada 1997. -Bernama



- Berita Disunting Dari HMETRO

No comments:

Post Top Ad